Tuesday 18 June 2013

Bila Kita Diberi Ujian...



Apabila dinamakan manusia, maka pastinya kita akan menempuhi pelbagai rintangan hidup. Setiap rintangan yang datang menyebabkan manusia terfikir mengapa mereka perlu menghadapinya sedangkan orang lain kelihatan bersenang-lenang, duduk sambil goyang kaki barangkali.

Jika mereka memikirkan bahawa mereka itu dizalimi oleh takdir mereka sendiri, maka perlulah mereka fikir kembali siapakah yang sebenarnya menetapkan takdir itu. 

Mari kita fikirkan siapakah yang bertanggungjawab ke atas pencorakan jadual hidup kita di dunia ini. Adakah diri kita sendiri atau kedua ibu bapa yang kita sayangi? Takdir adalah jadual hidup yang diberi oleh Allah kepada setiap hamba-Nya untuk dipatuhi. Jadi, kalau ada yang menyalahkan takdir, bermakna pada hakikatnya dia telah menyalahkan Allah s.w.t.

Ada dua perkara yang boleh kita renungi apabila kita menghadapi ujian kehidupan.

1) Kita telah awal-awal lagi menzalimi diri sendiri dengan melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu. Padahal sebelum itu, Allah sudahpun memberi amaran atau signal supaya kita tidak melakukannya.

2) Ada di antara kita yang diberikan ujian kerana Allah ingin dia bersama dengan-Nya. Allah mahu dia sentiasa mengingati-Nya tanpa mengira waktu. Dia sebenarnya bukan diberi ujian tetapi sebaliknya dia diberi cinta. Apabila seseorang itu ditimpa ujian, pada pandangan saya, dia akan merayu-rayu dan merintih kepada Allah. Dan Allah sangat suka akan hamba-Nya yang merintih-rintih memohon pertolongan dari-Nya. Sewaktu kita merayu-rayu itu, kita sebenarnya meminta kepada Allah dengan penuh perasaan dan pengharapan. Perasaan dan pengharapan inilah yang sebenarnya boleh menghasilkan benih cinta.

Allah sentiasa ingin kita bahagia di dunia mengikut cara-Nya tetapi kita sebagai manusia cukup degil dan mahu mencipta cara tersendiri yang selalunya lebih banyak buruk dari baiknya.

Mulai saat ini, berhentilah menyalahkan takdir kerana takdir tidak pernah salah. Setiap takdir yang diberi adalah yang terbaik untuk kita biarpun kita rasa ia tidak. Perancangan Allah itu pasti lebih baik untuk kita.

Jika kita diuji oleh Allah, itu tandanya Allah menyayangi kita. Seberat manapun ujian yang kita lalui, ingatlah bahawa Allah tak akan bebankan manusia melainkan mereka mampu menghadapinya.


No comments:

Post a Comment