Setiap kali Ramadhan akan melabuhkan tirai, doa dipohon minta Allah lanjutkan usia serta dianugerahkan kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadhan akan datang. Waktu-waktu lain, keadaan seperti ini jarang sekali berlaku, namun Ramadhan punyai daya tarikan yang tersendiri untuk individu Muslim berbuat demikian.
Itulah kemuliaan Ramadhan. Kehadirannya sering dinanti. Ramadhan memberi peluang untuk hamba meraih ganjaran daripada Allah.
Sejak bulan Rejab, Rasulullah s.a.w menyuruh kita berdoa, "Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku ke bulan Ramadhan."
Maka sangat beruntung hamba-hamba yang beroleh nikmat hidup pada bulan Ramadhan. Rasa syukur haruslah dibuktikan dengan amal soleh tanpa jemu. Agenda ukhrawi perlu diutamakan kerana Ramadhan hanya bertandang sekali dalam setahun.
Kita acapkali melupakan kasih sayang Ilahi. Tatkala diri dilanda derita, barulah kita ingat dan taat kepada-Nya. Saat kita susah, tidak jemu kita mengadu dan meraih simpati dari-Nya.
Namun begitu, kasih sayang Allah sentiasa mencurah-mencurah.
Sebulan Ramadhan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah untuk semua makhluk khusus kepada hamba-hamba yang ikhlas berjihad demi mencari keredhaan-Nya.
Sepanjang kehidupan, pasti setiap insan pernah melakukan kesalahan. Sempena kedatangan Ramadhan, Allah menawarkan peluang pengampunan dosa untuk hamba yang bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahan yang terdahulu diampunkan.
Makanya, tempoh sebulan Ramadhan merupakan peluang terbaik untuk kita kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada Allah.
Seterusnya, peluang kedua yang Allah anugerahkan sebagai tanda kasih sayang-Nya ialah ganjaran pahala yang digandakan bagi amal soleh yang dikerjakan.
Allah s.w.t juga mengurniakan Lailatul Qadr, ganjarannya lebih baik dari seribu bulan.
Oleh itu, kita haruslah menyambut kedatangan Ramadhan dengan segala persiapan. Kita juga harus memperbanyakkan amal soleh dan ambil peluang yang Allah tawarkan di dalam bulan Ramadhan.
No comments:
Post a Comment