Saturday, 22 September 2012

Nikmat Kejayaan




Kegagalan serta kesukaran acapkali dianggap sebagai ujian manakala kejayaan serta kesenangan hidup pula dikatakan sebagai nikmat. Kenyataan yang benar pada zahirnya. Tapi, seringkali kita lupa bahawa nikmat juga boleh menjadi ujian. Sekiranya sesuatu kesukaran disenaraikan sebagai suatu ujian, maka kejayaan yang dikecap sepatutnya juga disenaraikan sekali. Kerana apa? Kerana kejayaan dan kecemerlangan bakal menguji diri seseorang, sama ada ia boleh kekal ‘berdiri’ atau ia bakal ‘jatuh’.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita perlu bijak mengawal diri ketika memperoleh kejayaan sama seperti kita bijak mengurus diri ketika ditimpa musibah. Biarlah kejayaan yang kita sudah peroleh itu dapat dinikmati sepenuhnya setelah kita bertungkus-lumus berusaha mendapatkannya. Usah kerana secebis kejayaan kita angkuh dan menjadi seseorang yang lupa diri.

Sebagai contoh, saya bawakan kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Qarun. Kedua-duanya pernah berada di puncak kejayaan. Kekuasaan Nabi Sulaiman a.s. meliputi alam haiwan dan alam jin sehinggakan Baginda boleh menguasai semua makhluk.

Kekayaan Qarun pula berlimpah-ruah sehingga anak-anak kunci khazanah kekayaannya amat berat untuk dipikul oleh berpuluh-puluh pembantu yang gagah perkasa.

Apabila ditanya tentang kekuasaan dan kekayaan yang dimiliki, pandangan mereka berbeza.

Nabi Sulaiman a.s.menjawab, “Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”

Dengan begitu angkuh, Qarun mengatakan, “Sesungguhnya aku diberi nikmat-nikmat kekayaan ini kerana pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.”

Ada manusia semakin hampir dengan Tuhan menerusi kejayaan dan kecemerlangan. Sebaliknya, ada manusia semakin jauh dari Tuhan pabila kejayaan berganda-ganda.

Semua kejayaan datang dari Allah. Sedarlah diri dan kembali kepada Allah dengan bersyukur.

Allah mengajar insan supaya kembali kepada-Nya apabila seseorang beroleh sesuatu kejayaan dalam hidup. Tidak kira kecil atau besar sesuatu kejayaan dan kecemerlangan yang diperoleh maka kembalilah kepada-Nya dengan melafazkan rasa syukur, memuji serta memohon keampunan dari-Nya.

Bercakap soal kejayaan dan kecemerlangan, cabaran besar yang perlu ditangani ialah bagaimana menanam kepercayaan yang tidak berbelah-bahagi bahawa kejayaan dan kecemerlangan itu datang daripada Allah.

Manusia perlu berusaha ke tahap maksimum, Allah menentukan hasilnya. Apabila keyakinan tanpa keraguan ini dapat dihayati, maka akan terserlah kehebatan individu dengan kejayaan dan kecemerlangan yang sungguh membanggakan.

Hidup ini ibarat roda, ada masanya kita berada di atas dan ada masanya kita akan berada di bawah. Jadi, kita perlu bersedia dengan kemungkinan tersebut.

Mari kita telusuri pula kisah Khalid Al-Walid sebagai contoh.
Khalid Al-Walid dipecat daripada jawatannya iaitu ketua panglima perang oleh Saidina Umar. Dan ketika itu Khalid Al-Walid cukup tenang dan berkata, “Aku berjuang bukan kerana Umar tetapi kerana Allah.” Beliau cukup yakin bahawa apa yang diputuskan oleh Saidina Umar itu ada rasional dan hikmahnya. Walaupun kedudukan panglima Khalid Al-Walid pada waktu itu berada di puncak kecemerlangan selaku ketua angkatan tentera muslimin yang hebat lagi dikagumi, namun beliau tidak langsung berasa sedih. Hal ini kerana, beliau masih memiliki kejayaan dan kecemerlangan yang abadi iaitu keredhaan Illahi yang tiada tandingannya.

Justeru, walau apa jua kejayaan dan kecemerlangan yang ingin dicapai, pastikan matlamat utamanya adalah mencari keredhaan Allah. Jadikan kejayaan dan kecemerlangan itu sebagai wasilah untuk lebih hampir dengan-Nya.


Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
[As-Syura:20]

No comments:

Post a Comment