Akhlak Nabi
Muhammad s.a.w adalah cerminan Al-Quran dan contoh terbaik yang perlu
diteladani. Tapi, cuba tanya pada diri, setakat manakah keperibadian unggul
Baginda diikuti?
Amat sukar
untuk menjernihkan hati, mengikis tompok-tompok hitam yang mencemar keperibadian.
Seringkali keegoan membohongi diri; menyatakan kitalah orang yang paling baik,
benar, pandai dan betul.
Namun akuilah,
kita hanya manusia biasa yang pasti ada kelemahan dan kekurangan diri.
Walaubagaimanapun, Allah s.w.t membekalkan manusia dengan akal yang mengangkat
kita ke tahap lebih tinggi berbanding makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Akal berbekal
iman, berkuasa mengawal nafsu dan keinginan, menundukkan keegoan serta
menangkis godaan syaitan.
Allah s.w.t
boleh memberikan keampunan dan kemaafan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan
dengan kemuliaan dan kasih sayang-Nya, kenapa tidak kita?
"Sesiapa
yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya
dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim."
[Asy-Syura :
40]
Tidak
dinafikan bahawa terkadang amat sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain.
Terutamanya orang orang-orang yang pernah menzalimi dan menindas kita.
Barangkali amat
berat untuk dimaafkan dan dilupai. Namun, Allah s.w.t yang Maha Mengetahui
menawarkan perkara yang lebih hebat daripada itu, iaitu dengan memberikan
jaminan pahala.
Berilah maaf
walau tidak dipinta. Hal ini kerana, diri kita akan menghampiri taqwa sekaligus
mendekatkan diri kepada-Nya.
"Dan
perbuatan kamu bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada taqwa."
[Al-Baqarah :
237]
Walaupun
anjuran di dalam Al-Quran hanya tertumpu kepada menghulurkan kemaafan, ini
tidak bermakna bahawa kita tidak perlu meminta maaf sekiranya melakukan
kesilapan dan kesalahan.
Mintalah maaf sebelum terlambat.
Oleh
itu, andai kita diuji dengan kejahatan orang lain, kita perlulah bersabar dan
redha.
Ayuh
kita insafi diri dan jernihkan hati, sujudlah kepada-Nya, beristighfar dan pohonlah
keampunan-Nya serta maafkanlah semuanya. InsyaAllah, hati lebih tenang dan
bahagia =)
No comments:
Post a Comment