Friday, 19 October 2012

Nikmat Masa Lapang



Nikmat masa lapang,
Acapkali kita terlepas pandang,
Tiap detik jadi gersang,
Diisi dengan perkara kering-kontang.

Masa itu dibiarkan begitu sahaja,
Tersia tanpa pengisian sepatutnya,
Tidak kita sedari pemergiannya,
Masa yang beharga,
Berlalu meninggalkan kita.

Tidak boleh disia-siakan,
Nikmat yang telah Allah berikan,
Isilah dengan pelbagai kebaikan,
Bagi menampung segala kekurangan,
Yang sering kita lakukan,
Pada waktu kesibukan.

Penuhilah masa lapang yang ada,
Dengan perkara membasahkan jiwa,
Memantapkan kefahaman dan iman juga,
Supaya Allah memberkati,
Tiap detik masa kita.

Tuesday, 2 October 2012

Bermaafanlah



Akhlak Nabi Muhammad s.a.w adalah cerminan Al-Quran dan contoh terbaik yang perlu diteladani. Tapi, cuba tanya pada diri, setakat manakah keperibadian unggul Baginda diikuti?

Amat sukar untuk menjernihkan hati, mengikis tompok-tompok hitam yang mencemar keperibadian. Seringkali keegoan membohongi diri; menyatakan kitalah orang yang paling baik, benar, pandai dan betul.

Namun akuilah, kita hanya manusia biasa yang pasti ada kelemahan dan kekurangan diri. Walaubagaimanapun, Allah s.w.t membekalkan manusia dengan akal yang mengangkat kita ke tahap lebih tinggi berbanding makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain.

Akal berbekal iman, berkuasa mengawal nafsu dan keinginan, menundukkan keegoan serta menangkis godaan syaitan.

Allah s.w.t boleh memberikan keampunan dan kemaafan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan dengan kemuliaan dan kasih sayang-Nya, kenapa tidak kita?

"Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim."
[Asy-Syura : 40]

Tidak dinafikan bahawa terkadang amat sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Terutamanya orang orang-orang yang pernah menzalimi dan menindas kita. 

Barangkali amat berat untuk dimaafkan dan dilupai. Namun, Allah s.w.t yang Maha Mengetahui menawarkan perkara yang lebih hebat daripada itu, iaitu dengan memberikan jaminan pahala.

Berilah maaf walau tidak dipinta. Hal ini kerana, diri kita akan menghampiri taqwa sekaligus mendekatkan diri kepada-Nya.

"Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan itu lebih hampir kepada taqwa."
[Al-Baqarah : 237]


Walaupun anjuran di dalam Al-Quran hanya tertumpu kepada menghulurkan kemaafan, ini tidak bermakna bahawa kita tidak perlu meminta maaf sekiranya melakukan kesilapan dan kesalahan.

 Mintalah maaf sebelum terlambat.
Oleh itu, andai kita diuji dengan kejahatan orang lain, kita perlulah bersabar dan redha.

Ayuh kita insafi diri dan jernihkan hati, sujudlah kepada-Nya, beristighfar dan pohonlah keampunan-Nya serta maafkanlah semuanya. InsyaAllah, hati lebih tenang dan bahagia =)