Thursday, 8 March 2012

Hembusan Angin Itu!

Angin lantang di luar sana,
Berebut-rebut menghentam objek segala,
Tanpa batas dan had minima,
Memberi impak maksima berlipat ganda,
Meninggalkan tanda di mana sahaja,
Air mata awan jua seakan berpadu tenaga,
Walaupun tidak seirama dan sedetik cuma.

Dan angin itu juga,
Tiba-tiba mengusik hati dan jiwa,
Sehingga lahirnya fikrah serta cetusan bicara,
Di kala malam yang seakan bersuara.

Hembusan angin itu,
Mengingatkan daku,
Tentang tiupan yang akan berlaku,
Masanya tidak kita tahu,
Bagaimana nanti juga kita tidak tahu,
Terus-terusan mengetuk pintu hatiku,
Memuhasabah diriku,
Sungguh,
Aku takut dengan semua itu.

Ya Allah,
Ampunilah dosa hamba-Mu ini,
Jangan biarkan diriku sendiri,
Tanpa bimbingan dari-Mu Ya Illahi,
Jika diri dan hati ini masih penuh daki,
Peringatkanlah!

Aku mahu segera bersihkan,
Sampah-sarap serta kotoran,
Agar insan kerdil ini tidak terkecuali,
Dari mendapat perlindungan,
Serta rahmat dari-Mu Ya Rahman,
Semoga taubat dan kesalan,
Bukan hanya terkesan,
Pada saat ini,
Tapi biarlah ia berkekalan,
Dan menjadi amalan,
Yang tidak akan berkesudahan,
Tanpa usaha sekali beriringan.

Terima kasih Ya Allah,
kerana bukan sekadar hadirkan angin tanpa makna,
Hanya berhembus kencang menyakitkan telinga,
Tetapi ia datang membawa seribu agenda,
Membuatku berfikir sebelum terlena,
Moga lelapku malam ini tidak sia-sia.

01-03-2012
22:32
Irbid, Jordan.

No comments:

Post a Comment