Wednesday, 3 July 2013

Ramadhan Lambang Kasih Sayang Allah


Setiap kali Ramadhan akan melabuhkan tirai, doa dipohon minta Allah lanjutkan usia serta dianugerahkan kesihatan yang baik, mudah-mudahan dapat bertemu Ramadhan akan datang. Waktu-waktu lain, keadaan seperti ini jarang sekali berlaku, namun Ramadhan punyai daya tarikan yang tersendiri untuk individu Muslim berbuat demikian.

Itulah kemuliaan Ramadhan. Kehadirannya sering dinanti. Ramadhan memberi peluang untuk hamba meraih ganjaran daripada Allah.

Sejak bulan Rejab, Rasulullah s.a.w menyuruh kita berdoa, "Ya Allah, berkatilah hidupku pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku ke bulan Ramadhan."



Maka sangat beruntung hamba-hamba yang beroleh nikmat hidup pada bulan Ramadhan. Rasa syukur haruslah dibuktikan dengan amal soleh tanpa jemu. Agenda ukhrawi perlu diutamakan kerana Ramadhan hanya bertandang sekali dalam setahun.

Kita acapkali melupakan kasih sayang Ilahi. Tatkala diri dilanda derita, barulah kita ingat dan taat kepada-Nya. Saat kita susah, tidak jemu kita mengadu dan meraih simpati dari-Nya.

Namun begitu, kasih sayang Allah sentiasa mencurah-mencurah.
Sebulan Ramadhan merupakan puncak limpahan kasih sayang Allah untuk semua makhluk khusus kepada hamba-hamba yang ikhlas berjihad demi mencari keredhaan-Nya.

Sepanjang kehidupan, pasti setiap insan pernah melakukan kesalahan. Sempena kedatangan Ramadhan, Allah menawarkan peluang pengampunan dosa untuk hamba yang bersungguh-sungguh mahukan segala kesalahan yang terdahulu diampunkan.

Makanya, tempoh sebulan Ramadhan merupakan peluang terbaik untuk kita kembali membersihkan diri daripada dosa dengan bertaubat kepada Allah.

Seterusnya, peluang kedua yang Allah anugerahkan sebagai tanda kasih sayang-Nya ialah ganjaran pahala yang digandakan bagi amal soleh yang dikerjakan.

Allah s.w.t juga mengurniakan Lailatul Qadr, ganjarannya lebih baik dari seribu bulan.

Oleh itu, kita haruslah menyambut kedatangan Ramadhan dengan segala persiapan. Kita juga harus memperbanyakkan amal soleh dan ambil peluang yang Allah tawarkan di dalam bulan Ramadhan.

Tuesday, 18 June 2013

Bila Kita Diberi Ujian...



Apabila dinamakan manusia, maka pastinya kita akan menempuhi pelbagai rintangan hidup. Setiap rintangan yang datang menyebabkan manusia terfikir mengapa mereka perlu menghadapinya sedangkan orang lain kelihatan bersenang-lenang, duduk sambil goyang kaki barangkali.

Jika mereka memikirkan bahawa mereka itu dizalimi oleh takdir mereka sendiri, maka perlulah mereka fikir kembali siapakah yang sebenarnya menetapkan takdir itu. 

Mari kita fikirkan siapakah yang bertanggungjawab ke atas pencorakan jadual hidup kita di dunia ini. Adakah diri kita sendiri atau kedua ibu bapa yang kita sayangi? Takdir adalah jadual hidup yang diberi oleh Allah kepada setiap hamba-Nya untuk dipatuhi. Jadi, kalau ada yang menyalahkan takdir, bermakna pada hakikatnya dia telah menyalahkan Allah s.w.t.

Ada dua perkara yang boleh kita renungi apabila kita menghadapi ujian kehidupan.

1) Kita telah awal-awal lagi menzalimi diri sendiri dengan melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu. Padahal sebelum itu, Allah sudahpun memberi amaran atau signal supaya kita tidak melakukannya.

2) Ada di antara kita yang diberikan ujian kerana Allah ingin dia bersama dengan-Nya. Allah mahu dia sentiasa mengingati-Nya tanpa mengira waktu. Dia sebenarnya bukan diberi ujian tetapi sebaliknya dia diberi cinta. Apabila seseorang itu ditimpa ujian, pada pandangan saya, dia akan merayu-rayu dan merintih kepada Allah. Dan Allah sangat suka akan hamba-Nya yang merintih-rintih memohon pertolongan dari-Nya. Sewaktu kita merayu-rayu itu, kita sebenarnya meminta kepada Allah dengan penuh perasaan dan pengharapan. Perasaan dan pengharapan inilah yang sebenarnya boleh menghasilkan benih cinta.

Allah sentiasa ingin kita bahagia di dunia mengikut cara-Nya tetapi kita sebagai manusia cukup degil dan mahu mencipta cara tersendiri yang selalunya lebih banyak buruk dari baiknya.

Mulai saat ini, berhentilah menyalahkan takdir kerana takdir tidak pernah salah. Setiap takdir yang diberi adalah yang terbaik untuk kita biarpun kita rasa ia tidak. Perancangan Allah itu pasti lebih baik untuk kita.

Jika kita diuji oleh Allah, itu tandanya Allah menyayangi kita. Seberat manapun ujian yang kita lalui, ingatlah bahawa Allah tak akan bebankan manusia melainkan mereka mampu menghadapinya.


Tuesday, 28 May 2013

Malaysia, I'm Coming Home :D


It's been a week since my final exam had over.
The results had come out too.
It's not too good, not to be praised.
I still have to improve a lot and hopefully I will make it through when I'm in the third year.
Anyway Alhamdulillah, I passed all the subjects in this semester.



I'll be going back to Malaysia tomorrow.
Mixed of feelings. I'm excited but at the same time I feel inferior with others that will continue their study in the summer semester.
Going back for 3 months is totally out of my plan.
My parent suddenly asked me to change my plan. 
I'm not really sure what is the agenda behind this but I believe that Allah's planning is the best.

I feel like I'm still dreaming right now even though my things are already being packed.
Hopefully all is well.
And may Allah ease my journey for tomorrow :) 

Monday, 13 May 2013

Dilema Sakit Dan Final Exam


2 hari sebelum final exam, saya didatangi ujian. Sakit.

Kalau sebelum ini, saya masih gagah untuk menelaah buku namun berbeza sungguh kali ini. Saya benar-benar hilang tenaga. Bukanlah niat di hati untuk meminta simpati atau merintih mendapatkan perhatian.

Sekadar ingin berkongsi sesuatu.

Betullah kata pepatah,
sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.

Bila tak larat nak study, barulah nak menangis tak berlagu sebab exam dah semakin hampir.



Sepatutnya, memang kena buat preparation dari awal. Tak boleh study last minute.

Menyesal macam mana pun, nasi sudah menjadi bubur.

Mahu atau tidak, kena terima hakikat.

Allah memang mahu tunjuk sesuatu. Allah memang mahu ajar diri ini sesuatu.

Semoga saya belajar dari kesilapan ini.



"dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku," [26:80]

"Allah-lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali)..."
[30:54]

Bila Allah bagi sakit dan ujian, itu tandanya Allah sayang kita. Dan semoga sakit ini adalah sakit yang membersihkan jiwa.

Satu lagi benda yang saya belajar ialah, jangan pernah putus asa, dan jangan pernah putus doa dan jangan pernah putus meminta rahmat dari-Nya.

Tuesday, 7 May 2013

Kerana Kita Berhak Memilih


Dah berhabuk blog ni. 
*tiup habuk*

Agak sibuk kebelakangan ini, 
tapi Alhamdulillah,
masih lagi diberi ruang untuk bertinta.

Walaupun Pilihan Raya Umum ke-13 sudah melabuhkan tirainya,
namun, masih terasa kehangatan gelombangnya.
Mana tidaknya,
banyak sungguh kontroversi yang timbul.

Berada jauh dari negara sendiri tidak menghalang sama sekali niat untuk mengetahui setiap perkembangan yang berlaku di sana dari semasa ke semasa.

Masih belum cukup umur untuk mengundi. Hanya mampu meng'update' isu dan mengkaji. Menganalisa apa yang perlu. Bukan omongan kosong yang diperdebatkan tapi idea-idea bernas yang lahir dari golongan mahasiswa dijana.

Kerana saya satu hari nanti, bertanggungjawab untuk memilih pemimpin yang terbaik, maka, perbincangan mengenai politik tetap perlu diambil cakna.

Saya tahu, tak semua orang punyai matlamat dan pandangan yang sama. Masing-masing bebas untuk menyuarakan pendapat mereka, kerana kita berhak untuk memilih. 


Walaupun saya sokong A, tak bermaksud A ini sempurna. Dan tak bermakna juga B, C dan lain-lain adalah sempurna. Kerana sistem ini lahir dari manusia yang tidak sempurna, maka adakah kesempurnaan yang perlu kita titik beratkan?

Kalau betul kita ini golongan yang berfikiran terbuka, pasti, kita ada pendirian tersendiri tapi dalam masa yang sama, kita hormat pandangan orang lain. Kita mahu jadi orang yang membangunkan, bukan merobohkan.

Kerana kita berhak untuk memilih, maka pilih sajalah yang mana kita suka asalkan kita tahu itu adalah pilihan yang terbaik. Tidak mahulah yang hanya tunduk kepada sistem dan mudah mengikut telunjuk.

Jika keadilan yang kita impikan, bersikap adillah kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.
Bagaimana?
Kaji selidik semua perkara, jangan berat sebelah pada mana-mana pihak. Jangan mudah termakan kata-kata orang lain. Jangan ikut membuta tuli. Cari bukti yang sahih.



Tapi sayang sekali, manusia zaman ini,
mudah benar menghukum tanpa menyelidiki terlebih dahulu.

Kerana semua orang berhak untuk bersuara dan memilih, jadi ambillah iktibar dari pilihan raya baru-baru ini.
Mungkin 5 tahun itu tampak jauh, tapi tak salah kalau kita bersedia dari sekarang.

Satu pesan saya, jangan mengharapkan kemenangan kalau diri sendiri masih di tampuk lama. Jika betul inginkan pembaharuan, kenapa tidak kita mulakan perubahan dengan diri kita sendiri?

-Kerana kita berhak memilih, sama ada untuk menjadi orang yang sama atau berubah ke arah yang lebih baik. Allah sudah beri kita panduan, cuma tinggal kita yang kena buat pilihan =)

Monday, 8 April 2013

Kau Kawan, Kau Teman




Kita menjadi kawan,
Bukan atas pilihan,
Tapi kerana ketentuan,
Yang telah Allah tetapkan.

Atas nama persahabatan,
Kita mula berkenal-kenalan.

Kau punya cerita tersendiri,
Aku pula ada rahsia yang ku simpan di dalam hati.

Hadirnya kau untuk memberi pengajaran,
Munculnya aku untuk menyalur kekuatan,
Sungguh Allah  ada ketetapan,
Yang penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Teman,
Kadang badai datang menyapa,
Maka kita pun berduka,
Tapi hujan tak turun sentiasa,
Matahari dan pelangi pasti menjelma,
Mengubat lara,
Menghadirkan rasa ceria.

Aku tidak sempurna,
Namun aku akan terus mencuba,
Menjadi sahabat yg sebaik-baiknya,
Yang boleh buat kau selalu bahagia.

Senang sama-sama kita berkongsi,
Susah sama-sama kita harungi,
Bolehkah kita jadi kawan sejati?

Thursday, 28 February 2013

Sebagai Bekalan Menambah Iman

Alhamdulillah! 
Satu lagi nikmat dapat saya rasai.
Perjalanan ke UK memberi seribu makna.
Pahit, manis, masin, pedas, semua jenis rasa ada.



Walaupun rasa seronok, tapi perasaan terkilan yang paling menguasai jiwa.
Betullah kata orang, masa trip la kita boleh kenal yang mana satu kawan sebenar.
Dihimpit rasa terkilan dan rasa simpati, sukar untuk saya coretkan 1001 perasaan sebenar saya di sini.
Nak cerita, takut ada yang terasa, nak sembunyi, pedih di hati sendiri.
Tak mengapalah, mungkin sembunyi lebih baik.
Biarlah peristiwa tersebut menjadi pengalaman buat diri dan teman.
Yang pasti, peristiwa tersebut sudah cukup untuk buat saya rasa serik.
Bukan mudah berjalan jauh dengan orang yang tidak kita betul-betul kenali.
Sekali terluka, selamanya saya tidak akan lupa.

Abaikan cerita di atas, sekadar muqadimah meluah perasaan.
Banyak lagi perkara yang lebih penting untuk saya coretkan di sini.
Pengalaman yang begitu bermakna sepanjang keberadaan saya di bumi yang mana Islam tidak sempat sampai.

Terlalu banyak untuk saya ceritakan.
Hanya mampu tulis yang mana yang saya rasa benar-benar menyentuh jiwa.

Selama 2 minggu saya berada di sana, sayup-sayup laungan azan pun tak dapat saya dengar.
Allah! Rindunya pada azan begitu menusuk-nusuk. 
Kalau dulu, masa azan sering berkumandang, saya buat endah tak endah sahaja, tapi sekarang, lepas balik dari trip, saya lebih menghayati azan. Menghayati maknanya sekali.
Bila benda ada depan mata, kita selalu buat tak endah, tapi bila dah tiada, barulah kita rasa kehilangan.
Alhamdulillah, Allah panjangkan umur saya sampai sekarang, sempat untuk mendengar azan semula.

Satu lagi perkara yang betul-betul buat saya tersentap dan sayu adalah bila mana terjumpa dengan seorang Muslim brother di dalam train. Bukan kerana dia seorang Muslim yang buat saya terpaku, tapi sifat dia yang tidak malu  untuk menzahirkan bahawa dia adalah seorang Muslim itu yang buat saya rasa terharu. Tidak peduli dengan suasana di dalam train, dia tanpa segan silu mengalunkan suaranya membaca al-Quran dengan sefokus mungkin. Sungguh, diri ini terpana tatkala mendengar non-Muslim people yang duduk berhadapan dengan saya 'bergosip' tentang si dia yang sedang hanyut dengan keasyikan ayat-ayat-Nya. Allah, hebatnya mereka yang Islam tapi tinggal di kawasan bukan Islam dan tiada rasa hina sedikitpun walaupun saya yakin, tohmahan pelbagai perisa sudah dilemparkan terhadap mereka. Kita? Yang tinggal di negara Islam pun, masih lagi rasa segan untuk membuka al-Quran di mana-mana. Masih lagi kurang mengisi masa kita dengan Kitab Allah. Masih lagi memikirkan pandangan manusia. Masih lagi hanyut dengan perkara-perkara duniawi.
*tembak kepala sendiri*

Cukup banyak pengalaman yang diri ini rasai. Perkara paling manis yang akan saya ingat adalah menunaikan solat di dalam fitting room :)

Dan, begitu kasihnya Allah kepada kami. Sekecil-kecil manapun bilik yang kami dapat untuk tinggal, tapi masih ada ruang untuk solat. Masha Allah. Alhamdulillah. Allah permudahkan segala-galanya. Nikmat kesihatan, terjaga dari segala celaka dan kecederaan, terhindar dari orang-orang yang berniat tidak baik. Alhamdulillah.

Sekadar ingin berkongsi sedikit luahan dan pengalaman. Selain yang dicoret di sini, hanya mampu disimpan kemas di dalam ingatan dan kenangan.


"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan baring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"."
[3:190-191]

"Dan milik Allah-lah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan." [3:109]

Osem macam mana pun sesebuah tempat yang dilawati, segala-galanya adalah milik Allah. Maka, hadirkanlah rasa kagum terhadap ciptaan Allah. Semoga dengan melihat keindahan alam, semakin bertambah keimanan.

Dan, sesulit mana pun masalah yang dihadapi semasa perjalanan, jangan cepat mengeluh, tapi kembalilah kepada-Nya; mohon pertolongan dan beristighfarlah.


 Hadirku di bumi ini bukan sekadar mahu menikmati pemandangan,
Tapi ingin ku kutip pengalaman berharga sebagai bekalan menambah iman.